Thursday, April 16, 2009

The Baby Signs(R) Program featured in Kosmo!

Komunikasi isyarat tubuh

Oleh JOHANNA A. SOBREY
johanna.sobrey@kosmo.com.my


Ramai beranggapan isyarat tubuh atau bahasa isyarat hanya untuk golongan kurang upaya. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa ia sangat efektif dalam komunikasi antara ibu dan si kecil.

KETIKA berusia 14 bulan, Shawn Wong menghidap demam panas dan seperti kanak-kanak lain seusia dengannya, dia akan merengek dan menangis pada waktu tengah malam kerana berasa tidak selesa.

Apabila dihampiri ibunya, Jamie Solomon, tangan si kecil itu akan mengepal dan membuka semula berulang kali sebagai tanda isyarat permintaannya.

"Melihat sahaja tangannya, saya sudah tahu bahawa Shawn mahukan susu," ujar Solomon ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sekiranya Shawn tidak menunjukkan isyarat tersebut, Solomon berkata, dia tentu beranggapan bahawa anaknya mahukan ubat, dipangku atau ditukar lampin sebelum pilihan terakhir, menyusu.

"Tanda isyarat 'susu' itu membolehkan komunikasi efektif antara Shawn dan saya.

"Dia tidak perlu menangis lama untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya dan saya tidak berasa putus asa untuk mengetahui apa yang sebenarnya diperlukannya," tambahnya.


Solomon merupakan Pengarah BabySigns Malaysia Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang menyediakan program mendidik bayi berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat.

"Sebelum ini, bayi mengekspresikan diri mereka melalui kesan emosi seperti gelak ketawa atau tangisan.

"Adakalanya, ini menyukarkan kita memahami apa yang bayi inginkan, minat atau rasa," ujar Solomon.

BabySigns, katanya, mengajar kanak-kanak yang tidak mengalami masalah pendengaran bahasa isyarat yang berdasarkan kepada program Bahasa Isyarat Amerika (ASL).

ASL digunakan dalam kalangan individu yang mengalami masalah pendengaran di Amerika Syarikat.

Menceritakan tentang latar belakang BabySigns, Solomon berkata: "Pada tahun 1982, pakar perubatan, Dr. Linda Acredolo dan Susan Goodwyn mendapati bayi mampu menggunakan isyarat tangan secara spontan untuk mewakili ayat yang tidak mampu mereka suarakan.

Mereka akan menghidu untuk 'bunga' atau mengepakkan tangan di sisi badan sebagai tanda 'burung'. Kedua-dua doktor berkenaan berfikir, bagaimana sekiranya ibu bapa membantu dalam proses tersebut.


Sehubungan itu, lahirlah program BabySigns, bahasa isyarat semula jadi yang membenarkan bayi dan ibu bapa berkomunikasi dengan menggunakan isyarat ringkas untuk perkara-perkara penting seperti lapar atau dahaga, haiwan, emosi dan rasa.

"Melalui penyelidikan yang kebanyakannya ditaja oleh Institut Kesihatan Kebangsaan selama dua dekad, Acredolo dan Goodwyn telah menunjukkan bahawa program tersebut mempunyai pelbagai manfaat besar kepada bayi dan ibu bapa," kata Solomon.

Katanya, banyak yang ingin diperkatakan oleh bayi, sungguhpun mereka masih belum mampu untuk berkata-kata.

Walaupun demikian, Solomon berkata, kebolehan bayi berbahasa isyarat bergantung kepada apa yang telah diajar oleh ibu bapa.

"Tetapi ada kalanya, bayi akan membentuk sendiri bahasa isyarat mereka dan ibu bapa harus peka apa yang bayi mereka 'katakan'."


Solomon menggalakkan pengajaran tanda isyarat tangan yang digabungkan dengan percakapan bermula sejak lahir lagi.


Bercakap sambil berisyarat kata Solomon akan mendedahkan kanak-kanak dengan perkataan.

"Sungguhpun bayi tidak memahami sepenuhnya apa yang diperkatakan, tetapi dengan terus mengajar mereka, lama-kelamaan mereka akan berjaya.

"Ingin kami tekankan bahawa progres setiap bayi adalah berbeza," katanya yang melibatkan Shawn dalam program BabySigns pada usia 10 bulan.

Dengan kesungguhannya mengajar Shawn berbahasa isyarat, kanak-kanak yang kini berusia setahun itu mampu melakukannya dalam masa hanya dua bulan.

Sehubugan itu, Solomon merasakan usia tiga bulan merupakan waktu yang sesuai untuk memperkenalkan program BabySigns kerana pada peringkat itu, bayi lebih sedar dan masih belum mampu bergolek atau merangkak.

"Mereka memberikan tumpuan kepada anda. Namun demikian, bayi yang lebih berusia akan lebih cepat 'tangkap' apa yang ibu bapa ajar."

Mengulas manfaat program BabySigns, Solomon berkata: "Daripada segi perkembangan kognitif dan bahasa, manfaat lain adalah mengurangkan tangisan, perasaan marah dan putus asa antara kanak-kanak dan ibu bapa, membenarkan orang dewasa berkongsi dunia dengan si kecil, mengukuhkan ikatan antara anak dan ibu bapa, meningkatkan keyakinan diri anak, memudahkan pembelajaran bertutur dan merangsang perkembangan intelektual."

Program BabySigns, ujar Solomon, akan menggalakkan komunikasi proaktif antara dua pihak.

"Contohnya, sekiranya bayi tidak berbahasa isyarat, mereka akan menangis dan menunjuk sesuatu yang ada kalanya orang dewasa tidak memahami apa yang cuba mereka sampaikan.

"Melalui isyarat, bayi-bayi akan memulakan satu perbualan dan ibu bapa akan memberikan respons bercakap dengan mereka. Ini akan menambahkan kegembiraan kanak-kanak dan menggalakkan mereka berkomunikasi," katanya.

Mengakui antara perkara yang merunsingkan ibu bapa adalah sama ada program tersebut akan melembapkan anak-anak mereka untuk bercakap, Solomon menjelaskan: "Hakikatnya, program BabySigns itu bukan untuk melambatkan tetapi sebenarnya membantu mereka bercakap.

"Ia seperti kanak-kanak yang merangkak sebelum berjalan. Jadi, mempelajari bahasa isyarat akan menambahkan motivasi mereka untuk bercakap."

Ini katanya dibuktikan oleh satu kajian pada tahun 1980-an yang dijalankan oleh Acredolo dan Goodwyn yang menunjukkan manfaat program itu dalam perkembangan bahasa termasuk apabila kanak-kanak berusia dua tahun yang mengikuti program BabySigns menunjukkan perbendaharaan kata yang lebih besar berbanding kanak-kanak yang tidak mengikuti program tersebut.

Solomon yang merupakan instruktor bertauliah bebas antarabangsa yang pertama untuk program BabySigns di Malaysia berkata, program tersebut bukanlah sukar untuk diajar atau dipelajari bagi ibu bapa dan anak-anak mereka.

"Sebenarnya, bahasa isyarat adalah satu perkara yang semula jadi dan terbentuk daripada apa yang sememangnya diamalkan sejak sekian lama.

"Ini boleh dilihat dalam tanda isyarat melambai untuk 'bye-bye' atau mengangguk (ya) dan menggelengkan kepala (tidak). Ia seperti juga penggunaan tangan dan riak muka ketika menyanyikan lagu-lagu kanak-kanak.

Berdasarkan model ini, program BabySigns, kata Solomon lagi, membantu dalam apa yang telah pun dilakukan secara semula jadi.

"Pada mulanya, bayi-bayi ini akan mengetahui satu perkataan dan lama-kelamaan, mereka mampu menghubungkan satu perkataan. Seperti Shawn, perkataan pertamanya adalah more (lebih banyak). Kemudian, pada suatu hari ketika di pasar raya, dia berisyarat more biscuits atau lebih banyak biskut.

Antara isyarat yang diajar kepada peserta termasuklah haiwan, emosi, waktu, ibu dan bapa serta objek seperti bola dan buku.

Sehubungan itu, BabySigns Malaysia menawarkan bengkel ibu bapa yang direka untuk membimbing penjaga tentang bagaimana menggunakan program BabySigns di rumah.


Ia juga menawarkan kelas Sign, Say and Play yang merupakan enam siri kelas interaktif dan menyeronokkan yang membolehkan ibu bapa dan bayi mereka belajar bahasa isyarat dalam persekitaran yang santai dan penuh sokongan.

"Di samping itu, kami juga menawarkan rangkaian produk yang komprehensif bagi membantu proses pembelajaran bayi seperti buku-buku, DVD dan sumber lain yang menjadikan pembelajaran bahasa isyarat menyeronokkan dan mudah untuk semua.

Terbaru, BabySigns Malaysia menawarkan kursus latihan kepada pendidik peringkat awal kanak-kanak.

"Seorang instruktor bertauliah bebas akan datang ke pusat-pusat terlibat untuk menunjukkan cara tentang bagaimana menggunakan sumber-sumber yang ada.

"Terdapat tiga aras latihan untuk dipilih. Kesemuanya menunjukkan bagaimana guru-guru boleh menggunakan program BabySigns dalam bidang perkembangan bahasa, emosi, sosial, fizikal dan kognitif dalam kurikulum pembelajaran sedia ada," kata Solomon.